SEJARAH SANZAC

Pada tahun 1969 gabungan bekas perajurit Australia dan New Zealand (Australia, New Zealand Army Corps) atau lebih dikenali dengan singkatan ANZAC telah memohon sebidang tanah seluas lima ekar daripada Kerajaan Negeri Sabah untuk membina bangunan sebagai tanda kenangan abadi hubungan erat antara rakyat Sabah dan anggota tentera ANZAC yang menjadi rakan seperjuangan pada masa peperangan, akhirnya sebuah bangunan yang mempunyai tujuh bilik darjah telah berjaya didirikan atas biayaan peratuan ANZAC dan seorang warga tempatan iaitu En. Francis Xavier Loh. Beliau bersama askar Australia telah mengumpul dana untuk membina bangunan sekolah ini dengan mengadakan persembahan tarian singa (Lion Dance). Sekolah ini pada asalnya dinamakan ANZAC College dengan aliran bahasa Inggeris.

Akibat perkembangan sekolah menengah aliran kebangsaan semakin pesat pada masa itu, tertimbul masalah penempatan pelajar, maka kerajaan Negeri Sabah telah memohon kepada ANZAC supaya sekolah ini digunakan untuk aliran kebangsaan dan nama ANZAC College ditukarkan kepada SANZAC akronim SABAH AUSTRALIA NEW ZEALAND ARMY CORPS.

Atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan En. Francis Xavier Loh merupakan pengurus dan pengasas ANZAC College maka pada 27 Julai 1970 satu gimik majlis penyerahan kunci SANZAC kepada Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun, Ketua Menteri Negeri Sabah, bermula bulan Jun 1972 kerajaan negeri telah menambah infrastruktur dan kemudahan sekolah SANZAC.

Sebagai tanda penghargaan terhadap kumpulan ANZAC yang telah berkhidmat di Sabah serta kesudian mereka untuk menyumbangkan bangunan yang dibina dengan biayaan mereka sendiri maka sebuah tugu peringatan telah dibina diperkarangan sekolah ini. Pada tugu berkenaan juga telah terpahat tiga bendera iaitu Australia, New Zealand dan Sabah pada bahagian atas menara ini, melambangkan betapa eratnya persahabatan dan perpaduan antara Tanah Kanguru, Bumi Kiwi dan Negeri diBawah Bayu adalah akronim SANZAC telah mempunyai erti yang amat besar sebagai satu tanda ingatan tulus ikhlas atas sumbangan besar tentera ANZAC dalam mendaulatkan negeri ini.