berita, umum

Lawatan Wakil Kedutaan Perancis Sempena Hari Kebudayaan Perancis Kali Ke-2 SMK SANZAC 2019

7 Sep – SMK SANZAC mengadakan Hari Kebudayaan Perancis Kali Ke-2, bertempat di Dewan Tertutup SMK SANZAC di sini, pada Jumaat.

Menurut Guru Bahasa Perancis SMK SANZAC, Nur Aini Sainin, program tersebut diadakan bersempena dengan lawatan wakil Kedutaan Perancis, Roland Husson ke ibu negeri bermula 5 hingga 8 September 2019.

Sepanjang lawatan Roland ke SMK SANZAC, beliau dihidangkan dengan pelbagai acara daripada murid-murid yang mengikuti kelas Bahasa Perancis, antaranya ialah Pertandingan Teater, Pembentangan Skuad “Caring Hearts, Cleaner Society” SMK SANZAC dan sesi ramah mesra Roland bersama murid-murid yang telah dikendalikan menggunakan Bahasa Perancis.

Selain daripada itu Roland juga turut dibawa melawat ke Blok bersejarah ANZAC dan Tugu ANZAC yang menjadi mercu penubuhan SMK SANZAC sejak 1969.

Pada sebelah petang pula, Roland mengetuai rombongan 23 orang murid mengadakan lawatan pembelajaran ke kapal ‘Race for Water’ di jeti Pacific Sutera bagi memberi pendedahan kepada murid-murid tentang ekspedisi lima tahun mengelilingi dunia kapal ‘Race For Water’, yang bermatlamatkan pemuliharaan lautan, peralihan tenaga, sains dan pendidikan.

Menurut Aini (Guru Bahasa Perancis), semasa lawatan tersebut murid-murid telah diberi penerangan tentang fungsi kapal yang mana sumber tenaga untuk menggerakkan kapal tersebut dijana menggunakan tiga sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu sumber tenaga angin, tenaga solar dan tenaga air (hidrogen).

Penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui ini dapat mengelakkan pembebasan gas karbon dioksida yang mana ia merupakan satu-satunya kapal kecil di dunia yang bebas daripada penggunaan bahan api fosil.

Beliau berharap penganjuran aktiviti sebegini akan membantu meningkatkan keyakinan murid-murid yang mengikuti kelas Bahasa Perancis di SMK SANZAC  untuk bertutur serta mendalami bahasa tersebut selain meningkatkan pengetahuan dan kesedaran menjaga dan menyayangi alam sekitar.

Sumber: https://malaysiaaktif.my/63751